Latar Belakang

Penubuhan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) bermula dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk mengadakan satu kumpulan wang (tabung) biasiswa Pelajaran Ugama pada tahun 1965. Oleh kerana pada masa itu telah ada Lembaga Biasiswa Negeri Kedah maka perjalanan tabung biasiswa untuk pelajaran agama ditadbirkan di bawah Lembaga Biasiswa Negeri Kedah sehinggalah pada 16hb. November 1975, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan cadangan penubuhan YINK. Enakmen penubuhan YINK iaitu Enakmen Bil. 10 Tahun 1976 dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman dalam persidangannya pada 23hb. Mei 1976. Enakmen ini diwartakan pada 27hb. Julai 1976.

YINK mulai dari tarikh ini beroperasi di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Cawangan Perkhidmatan dilantik sebagai Setiausaha YINK menurut Perkara 10(1) Enakmen Bil. 10 Tahun 1976 sebagai sebahagian dari tugasnya dan dua orang pegawai kerani. Pada 16hb. Jun 1993, pentadbiran YINK dipisahkan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Mulai dari tarikh ini, seorang Pegawai Tadbir Negeri Tingkatan Kanan dilantik mengetuai pentadbiran YINK dengan memakai gelaran Pengurus Besar. Mulai tarikh ini juga kakitangan sokongan yang lain telah dilantik.