SEJARAH PENUBUHAN


Penubuhan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) bermula dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk membantu anak-anak Kedah yang hendak menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri dalam bidang agama Islam dari sudut bantuan kewangan dengan mengadakan satu kumpulan wang (tabung) biasiswa Pelajaran Ugama pada tahun 1965. Ketika itu telah pun wujud Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (kini dikenali sebagai Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah) maka kumpulan wang berkenaan diuruskan oleh Lembaga Biasiswa Negeri Kedah.
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) pada 16 November 1975 telah meluluskan cadangan penubuhan YINK dan Enakmen Bil.10 Tahun 1976 telah dibentang serta diluluskan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Darul Aman pada 23 Mei 1976 seterusnya diwartakan pada 27 Julai 1976 maka tertubuhlah YINK secara rasminya. Sebagai permulaan YINK beroperasi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Cawangan Perkhidmatan sebagai Setiausaha YINK menurut Perkara 10 (1) Enakmen Bil. 10 Tahun 1976 dengan dibantu oleh seorang Penolong Setiausaha dan dua orang kakitangan sokongan.
Bermula 16hb. Jun 1993 sehingga sekarang, pentadbiran YINK telah dipisahkan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan diterajui oleh seorang Pegawai Tadbir Negeri sebagai Pengurus Besar sehinggalah sekarang yang kini dikenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bersama sebahagian besar pegawai dan kakitangan yang dilantik bagi memantapkan pengurusan YINK dalam penajaan pinjaman dan biasiswa pendidikan, pusat pengajian Institut Al Quran Darul Aman (IQDAR) dan program dakwah di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah (PDIK) di samping aktiviti-aktiviti bagi menjana sumber kewangan dalam bidang hartanah melalui anak-anak syarikat.
Objektif Penubuhan
Objektif Penubuhan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) pada asasnya adalah seperti berikut:
- Untuk memperbaiki dan menambahkan lagi kemajuan-kemajuan pelajaran kepada penuntut yang beragama Islam.
- Mengadakan dan menambahkan lagi kepada penuntut berugama Islam segala kemudahan pelajaran di dalam dan luar negeri Kedah.
- Bagi menggalak dan menimbulkan perasaan ke Islaman.
- Memberi bantuan kepada pertubuhan-pertubuhan khairat.
- Menubuhkan sebuah kumpulan wang.
- Memberi dan atau menguruskan pembayaran oleh lain-lain badan, biasiswa, pinjaman untuk pelajaran rendah, menengah dan tinggi.
- Hendak memberi dan atau mengatur supaya badan-badan lain memberi biasiswa, pinjaman atau bantuan-bantuan lain dalam bentuk kewangan atau pelajaran kepada penuntut Islam di negeri ini.

