LATAR BELAKANG


Institut Al-Quran Darul Aman
Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) telah ditubuhkan pada tahun 1985 dan asalnya telah dikenali dengan Maahad Tahfiz Al-Quran Kedah. Pada awalnya urusan pentadbiran Maahad Tahfiz ini dikelolakan secara bersama oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dengan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK). Pada masa ini Maahad Tahifz Al-Quran Kedah menggunakan ko kurikulum daripada Darul Quran Jakim. Lepasan tahfiz ini layak melanjutkan pelajaran ke tahun 3 Aliah Maahad Tahfiz Al-Quran Universiti Al-Azhar, Shoubra, Mesir dalam tempoh 4 tahun.
Setelah tertubuhnya Institut Agama Islam Negeri Kedah (KUIN), Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) berpendapat Maahad ini perlu diletakkan di bawah pentadbiran KUIN sebagai salah satu bidang pengajian sesuai dengan fungsi KUIN sebagai sebuah institut pengajian. Pada 21 April 2011 KUIN membuat keputusan menawarkan kepada YINK untuk mengadakan kerjasama dalam mengendalikan Kursus Diploma Tahfiz Al-Quran. Setelah beberapa bulan kerjasama ini dijalankan pihak YINK bersetuju untuk membuka peluang yang lebih luas kepada anak negeri Kedah dengan menjalankan kerjasama dengan Darul Quran Jakim.
Maka pada 10 Mei 2012 dengan kerjasama Darul Quran Jakim pihak MTAQ-YINK telah menerima sebilangan 28 orang pelajar bagi mengikuti program Diploma Tahfiz Al-Quran Walqiraat. Pada tahun 2015, MTAQ-YINK telah diberikan pejenamaan semula dengan menukar status ke Institut Al-Quran Darul Aman atau lebih dikenali dengan IQDAR agar pusat pengajian ini dapat berkembang lebih jauh maju lagi dengan mengadakan usahasama dengan pusat pengajian yang lain.
Pengiktirafan
Pada 16 April 1983 kelayakan sijil Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah diberi pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf dengan Diploma Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM) bagi membolehkan pemegang sijil tersebut menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam. Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat IQDAR di bawah kendalian Darul Quran JAKIM juga diiktiraf oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mengikuti pengajian di universiti berkenaan. Antara institusi tersebut ialah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim Riau, Indonesia dan Universiti Al-Azhar, Mesir.
IQDAR telah mendapat pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Institusi Kecermelangan sempena Istiadat Konvokesyen Darul Quran kali ke-24 tahun 2015. Program atau Kursus IQDAR menawarkan program pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran. Program pengajian ini dilaksanakan dalam tempoh tiga (3) tahun dengan kerjasama Darul Quran, JAKIM. IQDAR bercadang untuk menjalinkan kerjasama bersama Lembaga Maktab Mahmud bagi program Sijil Tahfiz Malaysia.




Sijil Tauliah Mengajar
Diantara Fungsi-Fungsi Institut Al-Quran Darul Aman(IQDAR) ditubuhkan adalah untuk Melaksanakan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat di Peringkat Diploma Tahfiz. Membantu Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam melaksanakan Program Kursus dan Latihan kepada kumpulan tenaga manusia yang memerlukan kemahiran dalam bidang Al-Quran dan Qiraat. Menjalankan Kajian-Kajian Ilmiah dalam Pengajian Al-Quran dan Qiraat.
Untuk Makluman program pengajian yang ditawarkan di IQDAR ialah Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat untuk tempoh tiga tahun. Setelah selesai pengajian kebanyakan para pelajar terlibat dengan aktiviti mengajar di masjid dan sekolah-sekolah serta agensi-agensi kerajaan dan swasta di sekitar Negeri Kedah dan Wilayah Utara dalam bidang Al-Quran, Tajwid dan Fardhu Ain.
Oleh itu, Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian di IQDAR sekaligus akan mendapatkan tauliah mengajar di negeri kedah hasil kerjasama (MoU) diantara Jabatan Mufti Negeri Kedah dengan Institut Al-Quran Darul Aman. Dengan adanya jalinan kerjasama dari MoU ini, para pelajar yang menamatkan pengajian di IQDAR sekaligus akan mendapatkan Tauliah Mengajar supaya dapat memahami akan kehendak yang ingin dicapai dalam tujuan pengajaran. Selain itu, kerjasama ini juga akan menjadi nilai tambah kepada IQDAR dalam aspek membangunkan model insan dan para pelajar yang mahir dalam bidang yang diperlukan.